Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Malam ini kita akan menerima kunjungan bulan Ramadhan yang dinanti-nanti. Bulan yang menyediakan segala kebaikan, dilimpahi dengan segala kemuliaan, dihiasi dengan segala ketaatan, bulan manusia membangunkan diri mereka demi mengejar nilai TAQWA, sebagaimana yang dipesankan saban minggu di atas mimbar Jumaat ini.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:
"Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa"
Namun tidak semua manusia dengan mudah, dapat memahami apa yang dikehendaki oleh Allah melalui ibadah ini.
Sejarah mencatat, pada tahun 1961 umat Islam digemparkan apabila Presiden Tunisia pertama, Habib Bourguiba, telah mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai dengan mesej, "kami memaksudkan apa yang kami kata!"
Alasan Habib Bourguiba menghalang puasa di bulan Ramadhan itu ialah, puasa mengurangkan produktiviti negara!
Apa pendirian kita?
Apakah kita bercita-cita untuk melihat ada pemimpin negara ini yang menjejaki polisi Habib Bourguiba? Naudhubillah min Dzaalik!
Kita mungkin marah dengan Habib Bourguiba. Pandangannya itu amat bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Malah ia menyalahi seluruh catatan sejarah umat Islam. Apakah Habib Bourguiba tidak tahu, bahawa di bulan puasa itulah, umat Islam mencapai kemenangan di dalam Perang Badar? Kota Mekah dibebaskan di bulan Ramadhan. Ketibaan Islam di Andalus dan mengasaskan pemerintahan Islam 700 tahun, berlaku di bulan Ramadhan. Peperangan Ain Jalut yang menumpaskan pengganas Tatar berlaku di bulan Ramadhan. Pembebasan bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi juga berlaku di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan yang hebat bagi umat Islam.
Apakah Habib Bourguiba buta sejarah?
Beliau mungkin buta sejarah. Beliau juga mungkin tidak buta sejarah. Namun apa yang penting ialah, ia adalah SEJARAH. Ia buat semasa. Ia bukan kita. Ia adalah sejarah.
Bagaimana pula dengan apa yang ada di depan mata?
Lupakan seketika Tunisia. Lihat sahaja budaya kita di Malaysia. Apakah kita hebat di bulan Ramadhan? Apakah kita produktif di bulan Ramadhan? Di bulan Ramadhan, mesyuarat sangat sukar untuk dijayakan kerana semua orang kebuntuan idea, menguap dan tumpul kepala di dalamnya. Di bulan Ramadhan, kita tangguhkan projek-projek penting ke lepas raya. Jika di bulan lain kita habis bekerja pada jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan.
Tidakkah semua itu mengiyakan apa yang didakwa oleh Habib Bourguiba? Tidakkah semua itu petanda bahawa kita memang tidak produktif di bulan Ramadhan? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.
Namun, silapnya Habib Bourguiba itu adalah pada kedunguannya menyalahkan puasa dan Islam. Suatu pemikiran yang cacat.
Jika anda melihat sebuah kereta Mercedez terbengkalai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan syarikat Mercedez dan teknologinya? Mustahil. Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez. Sebaliknya kita akan tunding kesalahan itu kepada pemandunya. Setelah diberi Mercedez, masih boleh melanggar tiang lampu. Tetapi bagaimana pula dengan Islam dan Muslim? Mengapakah kelemahan umat Islam, kecacatan umat Islam, justeru Islam yang dipersalahkan?
Bacaan lanjut di sini : saifulislam.com
No comments:
Post a Comment